HomeAmanat Naib Canselor
Penubuhan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) adalah bagi memenuhi hasrat negara dalam mengarus perdanakan aliran pengajian Islam tempatan di peringkat universiti. Keberadaan kita di USIM adalah untuk menyelesaikan masalah ummah sebagai perintis kepada Integrasi Ilmu Aqli dan Naqli (INAQ). Selaku warga USIM, kita hendaklah bekerja keras untuk terus memikul tanggungjawab dalam memacu pembangunan dan kejayaan universiti ini.
Namun begitu, di dalam usaha kita menggapai impian kita yang menjulang ke langit, kita juga harus berpegang kepada “fundamental” kita: akar tunjang kita supaya apabila kita sudah berada di atas paksi kejayaan tersebut, kita tidak terumbang-ambing seperti layang-layang terputus tali yang hilang arah tujuan.
Sepadan dengan slogan “Mengajar ke Bumi, Memacu Impian.” Slogan ini berinspirasikan kepada ayat suci Al-Quran, Surah Ibrahim (14:24). Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
اَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللّٰهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ اَصْلُهَا ثَا بِتٌ وَّفَرْعُهَا فِى السَّمَآءِ (24)
“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.” (QS. Ibrahim 14: Ayat 24)
Di hujung ayat ini membawakan maksud bahawa “Pokok yang baik, pangkal tunjangnya tetap akan teguh ke tanah dan cabang pucuk-pucuknya menjulang ke langit.” Ibrah dari ayat ini ialah
sejauh mana kita akan melangkah, dan sejauh mana impian kita menjulang tinggi ke langit, dalam segala usaha kita “fundamental” akar tunjang yang ke tanah itu jangan kita lupakan.
Sebagaimana yang katakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita, “Excellence without soul”, jikalau kita menilai dan melihat kata-kata tersebut, itulah jawapan kepada “Excellence without soul USIM.”
Kita perlu menyedari setinggi mana pun kita akan terbang, selangit mana pun kita akan capai, perlu kita beringat bahawa ilmu dan kejayaan itu adalah kurniaan dari Allah kepada kita. Bukan kita yang punya segalanya.
Oleh itu, asas-asas USIM perlu kita genggam kuat-kuat supaya apabila kita berada di puncak kejayaan, kita adalah “Excellence with soul.” Kejayaan bersama iman dan taqwa. Di samping berilmu tinggi, berkelayakan tinggi, berpangkat tinggi, beradab dan juga berakhlak tinggi.